masa2 adalah nama samaran yang saya gunakan merujuk kepada diri saya – Mohd Asrul Sani bin Md Arifin. masa2 adalah terjemahan nama saya di dalam bahasa Arab – Asr AsSani yang membawa maksud, waktu yang ke dua, generasi yang ke dua, masa yang k2 dua, dan sebagainya. MASA juga adalah akronim nama saya Mohd Asrul Sani Arifin.

Saya dilahirkan pada tahun 1975 dan merupakan seorang akauntan bertauliah dari segi kerjaya. Namun bidang IT dan komputer adalah merupakan minat dan hobi saya semenjak saya didedahkan mengenainya pada tahun 1983. Sejak dari itu, hidup saya berkembang sekitar IT dan komputer, bermula dari hanya menggunakan komputer berasaskan DOS dan versi awal Macintosh, bermula dari menggunakan aplikasi seperti Wordstar dan juga Latex. Selain daripada itu, sejak dari tahun 1983 saya telah mula berjinak-jinak dengan bahasa pengaturcaraan komputer – Basica, dan tidak lama selepas itu dituruti dengan Fotran, C++, dan sebagainya.

Pada tahun 1991 saya telah memenangi Anugerah Emas dari Wordstar. Wordstar adalah aplikasi pemprosesan teks (seperti Microsoft Word) yang amat popular pada satu ketika. Kini, ianya tidak lagi digunakan dan telah diabaikan oleh penciptanya. Bagi mereka yang ingin maklumat lanjut mengenai Wordstar, sila kunjungi http://en.wikipedia.org/wiki/WordStar

Minat yang mendalam mengenai komputer dan internet lebih berkembang apabila saya memasuki alam universiti dan mula mencipta laman web pertama saya yang hanya menggunakan HTML biasa (dengan menggunakan Notepad). Bermula dengan membina laman web di geocities (yang pada ketika itu menawarkan hosting percuma, sebelum ianya di ambil oleh Yahoo), sehinggalah akhirnya saya membeli nama domain dan mengehos laman web saya sendiri. Nama domain laman web saya, masa2.NET yang saya daftarkan sejak dari 1 April 2001 masih saya kekalkan sehingga hari ini.

Disebabkan minat yang mendalam di dalam bidang ini, saya sentiasa mengikuti perkembangan terbaru mengenai apa yang berlaku di sekitar dunia teknologi maklumat ini. Bagi mereka yang mengenali diri saya pasti mengetahui bahawa saya, dalam banyak keadaan adalah di antara yang pertama yang bakal memiliki gadget-gadget terbaru yang dipasarkan. Ianya adalah merupakan satu hobi tanpa batasan yang kekadang merupakan satu kelemahan.

Telefon bimbit pertama saya di beli pada tahun 1996 berjenis Panasonic (dari Vodafone – sebelumnya The People Phone, UK). Sekembalinya di Malaysia, saya di antara pengguna Digi Prepaid yang terawal di Malaysia dengan menggunakan telefon Nokia, di masa operator lain masih terkial-kial untuk menawarkan pakej parabayar yang sesuai. Saya juga adalah antara 50 pelanggan Streamyx yang pertama sejak ianya mula dipasarkan kepada umum, yang melayakkan saya mendapat modem ADSL percuma.

Ketagihan dan keinginan saya pada dunia IT amatlah mendalam dan saya mempelajari mengenainya hanya melalui pembacaan, perbincangan dan pelayaran.

Berhubunglah dengan saya melalui Twitter, Facebook dan juga email.